Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Suami isteri antara tiga individu ditahan kerana terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah yang ditumpaskan polis di daerah ini membabitkan rampasan dan sitaan bernilai lebih RM230,000 Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, dalam serbuan pertama jam 12 tengah hari, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di tempat letak motosikal di bawah Flat Merging di sini.

DATUK Mohd Roze Shaari (dua dari kanan) melihat dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di Alor Setar, Rabu lalu. FOTO Zuliaty ZUlkiffli
DATUK Mohd Roze Shaari (dua dari kanan) melihat dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di Alor Setar, Rabu lalu. FOTO Zuliaty ZUlkiffli

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada beg silang milik lelaki itu menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi lapan paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin.

"Anggaran berat dadah berkenaan adalah seberat 56.23 gram. Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek yang menetap di Kuala Ketil dan bekerja sebagai peniaga itu mendapati dia positif dadah jenis morfin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin.

Mohd Roze berkata, susulan daripada itu, pihaknya melakukan serbuan kedua dengan menahan sebuah trak pikap Mitsubishi Triton dinaiki suami isteri di tepi jalan Sungai Petani, Simpang Empat, di sini pada hari sama jam 5 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada badan lelaki berusia 40 tahun yang berasal dari Kelantan dan bekerja sebagai pesawah itu menemui satu paket plastik lutsinar bahan ketulan disyaki dadah jenis heroin seberat 338.49 gram di dalam beg pinggang lelaki berkenaan.

"Isterinya yang berusia 37 tahun yang berasal dari Kampung Radix, Chepir, Sik pula bekerja sebagai pesawah dan turut ditahan untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan awal air kencing terhadap lelaki itu mendapati dia positif morfin manakala isterinya negatif," katanya.

Mohd Roze berkata, susulan daripada kes itu juga, pihaknya melakukan serbuan ketiga di sebuah rumah di Kampung Radex, Sik dan menemui satu beg galas mengandungi sembilan paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 5,504.59 gram.

Beliau berkata, turut ditemui lima paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 1,596.86 gram.

"Jumlah keseluruhan rampasan dalam semua kes itu membabitkan 1,991.58 gram dadah jenis heroin manakala 5,504.59 gram syabu. Nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM224,852," katanya.

Mohd Roze berkata, turut disita sebuah motosikal Yamaha 125Z bernilai RM8,000 dan wang tunai berjumlah RM835 yang menjadikan jumlah keseluruhan barangan sita berjumlah RM8,835.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah dan barangan sitaan berjumlah RM233,687.

"Jika dadah ini terlepas di pasaran, ia boleh digunakan oleh 62,000 penagih dan kita percaya dadah ini untuk pasaran di Alor Setar dan mereka dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu.

"Mereka dipercayai memperoleh bekalan dadah ini dari luar dari negeri ini iaitu negeri sempadan sama ada Kelantan dan Pulau Pinang.

"Kita percaya suspek kedua iaitu lelaki berusia 40 tahun itu disyaki dalang kegiatan itu dan mempunyai enam kesalahan lampau berkaitan dadah," katanya.

Mohd Roze berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 January 2022 @ 1:09 PM