Omar Bakhtiar (dua dari kanan) bersama anggota menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Omar Bakhtiar (dua dari kanan) bersama anggota menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Sejumlah 125.7 gram dadah jenis heroin dan syabu dirampas polis dalam serbuan di dua rumah di Jalan Pantai Kuala Kurau dan Tanjung Piandang, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam serbuan pertama jam 8.30 malam di sebuah rumah di Jalan Pantai Kuala Kurau, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian yang diketuai oleh Inspektor Hayat Eree, berjaya menahan seorang lelaki serta menemui sejumlah 14 paket plastik dipercayai dadah jenis syabu seberat 11.3 gram, satu paket plastik tumbuhan kering dipercayai ganja dan heroin seberat 7.7 gram.

Menurutnya, dalam serbuan kedua pula pada jam 10.30 malam di sebuah rumah di Bagan Tiang, Tanjung Piandang, pihaknya berjaya menahan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan dan turut menemukan empat paket dadah dipercayai heroin seberat 106.7 gram berada di atas lantai.

"Kesemua yang ditahan berumur antara 33 hingga 45 tahun dan dipercayai kesemua suspek ini adalah penagih tegar dan juga tokan (pengedar) kecil di kawasan sekitar.

"Siasatan lanjut mendapati suspek turut memiliki pelbagai kes lampau membabitkan dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, kesemua dadah yang dirampas bernilai RM 3,000 dan mampu mencecah harga pasaran sekitar RM10,000.

Katanya, siasat lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1),Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 4:02 PM