Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis tidak menerima sebarang laporan kes jenayah terutama pecah rumah dan kecurian harta benda sepanjang tempoh banjir melanda di Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya memang ada menerima laporan berkaitan jenayah pecah rumah dan curi, namun semuanya tidak membabitkan mangsa banjir.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan yang terjejas banjir.

Katanya, langkah itu bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan tiada sebarang kes jenayah dan kecurian berlaku penduduk yang terjejas berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kita memang menyusun pasukan pencegahan jenayah kita yang terdiri daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk mengatur strategi dan mengawal kawasan kediaman penduduk.

"Kita tidak mahu mereka ini menjadi mangsa jenayah sedangkan mereka diuji dalam banjir yang melanda negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Bridge To Bridge: Charity Ride Polis Diraja Malaysia Kontinjen Terengganu 2022 di Dataran Batu Buruk di sini.

Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak 25 Februari lalu menyebabkan lebih 20,000 mangsa membabitkan lebih 7,000 keluarga terjejas.

Ia menyaksikan semua lapan daerah terjejas dengan Hulu Terengganu menjadi daerah terakhir pulih daripada banjir apabila PPS di daerah berkenaan ditutup semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 4:47 PM