PENDUDUK berjalan meredah banjir selepas air mulai surut  di Kampung Durian Mentangau. FOTO Ghazali Kori
PENDUDUK berjalan meredah banjir selepas air mulai surut di Kampung Durian Mentangau. FOTO Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka di Besut, hari ini bagi menempatkan mangsa banjir.

Setakat 8 pagi ini, 138 mangsa daripada 41 keluarga masih berlindung di dua PPS berkenaan.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, 126 mangsa daripada 38 keluarga berada di PPS Masjid Kampung La di Besut.

Manakala, 12 mangsa daripada tiga keluarga lagi ditempatkan diPPS Balai Raya Kampung Pantai.

Banjir di Terengganu semakin beransur baik menyebabkan sebahagian besar mangsa yang terjejas di lapan daerah di Terengganu sebelum ini dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat.

Kemaman menjadi daerah pertama di Terengganu yang menutup semua PPS, Sabtu lalu diikuti Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu.

Semalam, PPS di Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu pula ditutup secara berperingkat.

Terdahulu, banjir luar jangka yang melanda Terengganu bermula 18 Disember lalu menyaksikan lebih 40,000 mangsa terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 10:29 AM