GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersedia untuk menggerakkan anggota dan aset logistik ke negeri yang terjejas banjir.

Pengarahnya Md Hilman Abd Rashid berkata, situasi semasa di Terengganu ketika ini masih terkawal walaupun negeri ini turut dilanda banjir.

Menurutnya, setakat ini, aset logistik mencukupi untuk menampung keperluan bagi menjalankan operasi banjir di negeri ini.

Katanya, pihaknya mempunyai sebanyak 33 bot pelbagai jenis dan sembilan lori bagi melakukan kerja-kerja penyelamatan.

"Selain itu, kita turut mendapat bantuan daripada Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Timur di Wakaf Tapai, Marang untuk operasi menyelamat.

"Kita turut membekukan cuti seramai 833 pegawai dan anggota bermula Jumaat lalu sebagai persediaan awal jika diarahkan untuk membantu negeri-negeri lain yang terjejas.

"Kita juga bersedia membantu daripada segi aset sekiranya diperlukan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menerusi banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu, tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Setiu terjejas.

Bagaimanapun, banjir di Setiu kembali pulih dan ketika ini seramai 303 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Kesemua mangsa daripada 71 keluarga itu ditempatkan di lapan PPS di Kemaman dan Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 1:07 PM