Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lebih 1,000 peserta menyertai Program Bridge To Bridge: Charity Ride Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu 2022 yang diadakan bagi membantu mangsa banjir.

Kayuhan amal itu turut disertai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sekali gus mengumpul kutipan sebanyak RM21,634 yang akan disumbangkan kepada Tabung Bencana Banjir Terengganu.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Zaini Jass berkata, selain peserta dari Terengganu, program itu turut membabitkan penyertaan dari Pulau Pinang, Johor, Pahang, Perak dan Wilayah Persekutuan.

Katanya, dua kategori peserta iaitu orang awam yang berkayuh pada jarak 65 kilometer (km) dan orang kenamaan (20km).

"Ini satu program yang sangat kita banggakan dan galakkan di mana dalam kita bersukan, kita juga tidak lupa kepada mereka yang ditimpa bencana banjir.

"Penganjuran program ini menunjukkan PDRM dan masyarakat berpisah tiada seiring dengan slogan yang selalu diterap pakai PDRM," katanya.

Beliau berkata, selain mangsa banjir, sumbangan akan disalur kepada 48 keluarga anggota dan pegawai yang terjejas dalam bencana itu.

Menurutnya, pihaknya berharap program seumpama itu dapat menggalakkan belia terbabit aktiviti bermanfaat, mencegah masalah sosial serta membantu merancakkan industri pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 6:30 PM
Program Kayuhan Bridge To Bridge :Charity Ride PDRM Terengganu 2022 di Dataran Batu Buruk. Seramai 1126 peserta yang melibatkan dua kategori, iaitu kategori VIP dengan jarak 20 kilometer manakala penyertaan awam melibatkan kayuhan jarak 65 kilometer. FOTO GHAZALI KORI
Program Kayuhan Bridge To Bridge :Charity Ride PDRM Terengganu 2022 di Dataran Batu Buruk. Seramai 1126 peserta yang melibatkan dua kategori, iaitu kategori VIP dengan jarak 20 kilometer manakala penyertaan awam melibatkan kayuhan jarak 65 kilometer. FOTO GHAZALI KORI