Keadaan banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini. FOTO BERNAMA
Keadaan banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Pasir Mas: Rata-rata mangsa banjir bersyukur dan menghargai pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Sofie Yudin Aziz, 27, dari Kampung Tok Sangkut di sini berkata, bantuan BWI itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya.

"Banjir kali ini di luar jangkaan saya kerana paras air naik secara mendadak ke dalam rumah, sehingga saya tidak sempat untuk menyelamatkan beberapa barangan kelengkapan penting, termasuk barangan elektronik.

"Alhamdulillah, apabila semalam Perdana Menteri umumkan akan beri BWI, saya sungguh bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana tidak meminggirkan nasib mangsa banjir," katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.

Wan Abdul Rahman Wan Hanafi, 55, dari Kampung Bongor, di sini, juga berkata, wang itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan asas.

"Beberapa penduduk kampung di sini terpaksa mengharapkan ihsan bantuan daripada agensi berkuasa untuk memberi sumbangan makanan asas seperti roti, biskut, gula dan sebagainya kerana kami terkandas akibat banjir baru-baru ini," katanya.

Menurutnya, dia tidak sempat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan laluan untuk pergi ke tempat berkenaan sukar dilalui kerana air deras.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bayaran BWI kepada 7,651 ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di Kelantan dan Terengganu pada gelombang kali ini akan disalurkan segera.

"Kita jangka bayaran RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah akan dibayar secepat mungkin," katanya.

Selain BWI, kerajaan akan turut menyalurkan bantuan RM2,500 untuk membeli barangan keperluan asas dalam rumah manakala bagi kerosakan peralatan elektrik pula, baucar atau rebat RM500 untuk pembelian, dan untuk pembaikan kerosakan kenderaan disediakan baucar RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 5:55 PM