Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Pengalaman getir ketika penugasan dalam Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) sekitar 1960-an masih segar dalam ingatan Yusof Hussain.

Masih terbayang di fikiran Yusof, 80, situasi genting ketika bertugas di Tanjong Karang, Selangor dalam tempoh negara berdepan dengan Konfrontasi Indonesia-Malaysia.

Yusof berkata, dia ketika itu baru memasuki alam pekerjaan dan semasa bertugas, dia serta dua rakan didatangi seorang lelaki warga Indonesia yang turut terbabit dalam konflik itu.

"Kami difahamkan, lelaki itu memiliki senjata termasuk bom tangan. Sebaik dia menghampiri pos kawalan, kami segera menangkapnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjong Mas di sini.

Yusof yang berkhidmat selama 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersara pada 2000 dengan pangkat Sarjan Mejar dan lokasi terakhir penugasannya adalah di Balai Polis Palekbang, Tumpat dengan jawatan sebagai ketua balai.

Terdahulu, bapa kepada lapan cahaya mata itu dikunjungi Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, yang menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara.

ZAKI Harun (dua kiri) menyerahkan Pingat Jasa Negara dan sijil penghargaan kepada seorang pesara polis, Yusof Hussain, 80, yang mengidap sakit saraf dan kencing manis. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ZAKI Harun (dua kiri) menyerahkan Pingat Jasa Negara dan sijil penghargaan kepada seorang pesara polis, Yusof Hussain, 80, yang mengidap sakit saraf dan kencing manis. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Pada kunjungan itu, Yusof yang semakin uzur dan menghidap sakit saraf, buah pinggang dan kencing manis sejak 10 tahun lalu turut menerima katil khas sumbangan Persatuan Kebajikan Pesara Pegawai Rendah Polis Kontinjen Kelantan (PKPPRPKK).

Yusof berkata, dia kini menetap bersama isteri, Aishah Ali, 75, selain dua anak yang juga orang kurang upaya (OKU) dan mereka diuruskan oleh anak sulungnya, Zainura, 56, yang bersara awal daripada kerjaya sebagai guru.

"Walaupun sudah lebih 20 tahun meninggalkan tugas, banyak kenangan pahit dan manis yang akan saya kenang selagi nyawa dikandung badan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 3:22 PM