Nor Fazlina Abdul Rahim

Kuala Krai: Taktik tiga beradik menyembunyikan 150 kilogram (kg) syabu bernilai RM5.4 juta di sebalik perabot terpakai di dalam lori, gagal selepas ditahan polis semalam.

Kesemua suspek berusia 24 hingga 45 tahun diberkas sepasukan pegawai dan anggota polis di dua lokasi berasingan di Kampung Tengah dan Kampung Kenor di sini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesemua suspek ditahan pada 7.50 pagi ketika dalam perjalanan membawa bekalan terlarang itu dari sempadan Kelantan ke Lembah Klang.

Katanya, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menyedari sebuah lori muatan perabot terpakai dan kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan.

"Kita mula mengekori kedua-dua kenderaan terbabit dari Ketereh sebelum tangkapan serentak dilakukan di dua lokasi di Kuala Krai.

"Hasil pemeriksaan mendapati, kereta dipandu lelaki dipercayai berperanan untuk memantau lokasi, manakala lori itu pula dinaiki dua beradik.

"Pemeriksaan dalam lori menemui beberapa plastik hitam yang dalamnya mengandungi keseluruhan 150 paket bertulis 'refined chinese tea' dipercayai dadah jenis syabu seberat 150 kg," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, di sini, hari ini.

MUHAMAD Zaki (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan 150 kg syabu bernilai RM5.4 juta pada sidang media di IPD Kuala Krai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MUHAMAD Zaki (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan 150 kg syabu bernilai RM5.4 juta pada sidang media di IPD Kuala Krai. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, siasatan pihaknya mendapati lori yang digunakan tiga beradik untuk membawa bahan terlarang itu adalah milik keluarga mereka.

"Siasatan awal juga mendapati ketiga-tiga beradik berkenaan berperanan sebagai 'transporter' dan kita percaya ini bukan kali pertama mereka membawa bahan terlarang itu.

"Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan ke Lembah Klang. Sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan seramai 1.5 juta penagih," katanya.

Beliau berkata, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengesan sindiket dadah berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis juga menyita sebuah kereta dan lori bernilai lebih RM16,000 untuk siasatan lanjut dan semakan mendapati dua suspek yang berusia 24 dan 45 tahun mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 1:49 PM