Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Lebih 500 pegawai dan anggota polis ditugaskan untuk mengawal lalu lintas di beberapa kawasan tumpuan sepanjang Hari Raya Aidilfitri melalui Ops Selamat bermula 20 April sehingga 27 April ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ia termasuk di kawasan 'hotspot' yang sering berlaku kemalangan membabitkan beberapa daerah seperti Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Kota Bharu.

Katanya, penugasan itu bukan sahaja membabitkan sekatan jalan raya (SJR), tetapi juga pemantauan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Kereta Peronda (MPV).

"Operasi ini bagi memastikan aliran trafik bergerak lancar dan mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya terutama kemalangan maut.

"Dalam masa sama, kita mahu memastikan keselamatan harta benda dan premis kediaman selain menurunkan kadar jenayah pecah rumah semasa musim perayaan.

"Pemandu perlu memainkan peranan dengan memandu secara berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelak berlaku kecelakaan dan dapat sampai ke destinasi dengan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Iftar dan Kongsi Rezeki Ramadan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, malam tadi.

Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang anggota mualaf di Majlis Iftar dan Kongsi Rezeki Ramadan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
Muhamad Zaki (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan zakat kepada salah seorang anggota mualaf di Majlis Iftar dan Kongsi Rezeki Ramadan Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Dalam majlis terbabit, seramai 29 mualaf membabitkan pegawai dan anggota polis menerima sumbangan zakat daripada Polis Kelantan selain penyampaian bubur lambuk kepada petugas barisan hadapan sepanjang Ramadan.

Muhamad Zaki berkata, pihaknya turut meningkatkan pemantauan di kawasan 'hotspot' bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan di lokasi 'blackspot' bagi mengurangkan kemalangan dengan cara rondaan.

"Kami menjangka jumlah kenderaan masuk ke Kelantan akan bertambah susulan anak perantau pulang untuk beraya, namun insya-Allah semuanya dalam keadaan terkawal jika mendapat kerjasama pengguna," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 9:44 AM