Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seorang jururawat kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis antara November tahun lalu sehingga 1 April lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pada November tahun lalu, mangsa berusia berusia 40-an berada di Tanah Merah dan menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa dia ada membuat tuntutan insurans.

Menurutnya, mangsa menafikan perkara itu dan diminta membuat laporan laporan di Balai Polis Ampang.

"Mangsa sekali lagi mendapat panggilan kononnya daripada pegawai polis berpangkat Inspektor yang menyatakan wanita itu mempunyai waran tangkap dan waran pembekuan harta kerana terbabit dengan kes jenayah.

"Mangsa diarahkan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang bagi siasatan, namun diberi pilihan bahawa pihak polis akan menjalankan siasatan melalui panggilan telefon.

"Pada hujung November tahun lalu, mangsa pergi ke sebuah bank untuk membuat akaun baharu seperti yang diarahkan suspek kononnya bagi tujuan siasatan ke atas wang yang dimiliki mangsa.

"Mangsa diarahkan untuk mendaftar nombor telefon yang dimiliki suspek ketika membuka akaun bank itu.

"Sehingga Februari lalu, mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank lain ke akaun bank baharu bagi tujuan jaminan diri termasuk dua pinjaman bank yang dibuat dalam tempoh sebulan berjumlah RM148,000," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada kakitangannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki (dua kiri) bersama Mohd Nor Yhazid (kiri) dan Awang (kanan) hadir Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada kakitangannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhamad Zaki (dua kiri) bersama Mohd Nor Yhazid (kiri) dan Awang (kanan) hadir Majlis Agihan Bubur Lambuk kepada kakitangannya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Azman Ayob dan Pengurus Nestle Malaysia Cawangan Pantai Timur, Awang Abdullah.

Muhamad Zaki berkata, mangsa diarahkan supaya tidak membuat semakan ke atas akaun bank sepanjang tempoh siasatan.

"Pada jam 6 petang, 1 April lalu, mangsa membuat pemeriksaan akaun dan mendapati wang berjumlah RM207,000 tiada dalam simpanan sebelum membuat laporan polis.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 6:51 PM