Hazira Ahmad Zaidi


ENAM keluarga membabitkan 26 orang, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang didiami mereka hangus dalam kebakaran di Kampung Hamzah, Kuala Krai, hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian 9.45 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang daripada mangsa, Nazura Zali, 36, berkata, mereka terpaksa membina khemah di hadapan tapak rumah yang terbakar disebabkan tiada tempat lain untuk berteduh.

Katanya, ketika kejadian itu, suaminya Mohd Azimi Narudin, 38, berada di rumah dan sedang membasuh kain sebelum terdengar bunyi letupan di dapur dan melihat api mula marak.

“Dia segera mengejutkan tiga anak yang tidur untuk keluar bersama seorang lagi yang bermain di ruang tamu.

“Kemudian, dia menjerit meminta ahli keluarga lain yang berada dekat rumah dan jiran untuk keluar menyelamatkan diri.

“Kami semua tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen dan barang penting lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nazura berkata, penduduk kampung membantu mereka memadam kebakaran sebelum ketibaan bomba namun gagal menyelamatkan apa-apa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.03 pagi dan tiba di lokasi dua minit kemudian.

“Seramai 16 anggota BBP Kuala Krai dibantu BBP Sungai Durian memadam kebakaran dan ketika tiba, 90 peratus deretan rumah kayu enam pintu itu sudah terbakar.

“Ketika kejadian tidak ada mangsa yang terperangkap dan dengan tindakan pantas anggota dapat menyelamatkan dua rumah lain yang berhampiran.

“Api berjaya dikawal pada 10.17 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada 11.51 pagi,” katanya yang memberitahu jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 6:47 PM