Polis menahan sembilan lelaki warganegara asing yang sedang leka berjudi dalam serbuan di sebuah premis di di Jalan Brunei 3, Off Jalan Pudu di sini, semalam.
Polis menahan sembilan lelaki warganegara asing yang sedang leka berjudi dalam serbuan di sebuah premis di di Jalan Brunei 3, Off Jalan Pudu di sini, semalam.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan sembilan lelaki warga Bangladesh dan Myanmar dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan pusat judi haram di Jalan Brunei 3, Off Jalan Pudu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada jam 6.30 petang itu turut menahan tiga lelaki dipercayai penjaga premis terbabit.

"Ketika serbuan dilakukan, semua lelaki terbabit sedang leka bermain judi di mesin slot yang disediakan sindiket perjudian.

"Hasil serbuan, polis merampas empat monitor, empat set mesin perjudian, 16 kotak pertaruhan judi, buku catatan judi dan wang tunai RM10,213 dipercayai wang pertaruhan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, semua suspek berusia lingkungan 17 hingga 71 tahun ditahan reman untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat di mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkenaan aktiviti perjudian khususnya di daerah Dang Wangi dengan menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115999 atau mana-mana balai polis berhampiran,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 7:09 PM