SALAH seorang suspek yang diburu polis. FOTO tular
SALAH seorang suspek yang diburu polis. FOTO tular
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Seorang lelaki cedera dipercayai akibat dibelasah dalam kejadian di Flat San Peng, di sini, pada 26 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 48 saat yang menunjukkan seorang individu cedera di bahagian kepala dan muka tular di media sosial jam 11.53 pagi tadi.

"Siasatan awal dilakukan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam membabitkan sekumpulan individu tempatan di flat berkenaan.

"Kami ada menerima laporan berhubung kejadian itu jam 8.59 malam tadi (semalam) dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, pihaknya sedang mengesan dua suspek warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Terdahulu, terdapat video tular memaparkan seorang lelaki cedera dipercayai dipukul dua individu yang disyaki menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard tular di media sosial, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2022 @ 9:01 PM