CIAPAN di Twitter yang tular mendakwa anggota polis memeras ugut pekerja warga Bangladesh.
CIAPAN di Twitter yang tular mendakwa anggota polis memeras ugut pekerja warga Bangladesh.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis sedang menyiasat dakwaan seorang individu yang mendakwa beberapa anggota polis melakukan pemerasan ke atas pekerjanya di Jalan Imbi, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, siasatan akan dijalankan secara telus dan tidak akan melindungi mana-mana anggota polis yang dikenal pasti terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Semalam terkesan satu ciapan di Twitter atas nama Pie-U Ammar Amin bertarikh 22 April yang meluahkan ketidakpuasan hati terhadap anggota polis yang didakwa melakukan pemerasan ke atas pekerjanya di Jalan Imbi.

"Dalam hal ini, polis daerah Dang Wangi mengambil maklum berkaitan isu ini dan memohon individu berkenaan supaya hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi bagi membantu siasatan.

"Polis akan melakukan siasatan sekiranya dakwaan berkenaan adalah benar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menularkan ciapan berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

"Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan," katanya.

Terdahulu, individu berkenaan mendakwa pekerjanya diperas ugut dan diminta bayaran RM200 bagi seorang individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 April 2021 @ 2:01 PM