GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Pontian: Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) diharap melakukan pembaharuan dalam pemilihan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan tidak lagi mengambil kira kerusi tradisi sebagai kriteria utama.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Senator Datuk Jefridin Atan berkata, kriteria kerusi tradisi tidak lagi relevan berikutan perubahan kehendak dan keperluan pengundi masa kini.

Katanya, BN perlu lebih terbuka mengikut selera pengundi berdasarkan kepada majoriti sesuatu kaum di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Istilah kerusi tradisi sama ada bagi UMNO, MCA dan MIC tidak lagi relevan digunakan pucuk pimpinan tertinggi BN dalam pembahagian kerusi pada PRN Johor.

"Jika majoriti di sesuatu kawasan DUN itu Melayu, sudah tentu, kena akur wakil rakyat di situ mestilah daripada UMNO begitu juga sekiranya kawasan itu majoritinya masyarakat Cina, MCA yang perlu bertanding, janganlah sesekali diletak calon Melayu.

"Kehendak rakyat perlu diberikan keutamaan, kita sudah tidak boleh terima parti-parti kompenan yang rakyat sendiri sudah tidak selesa dengan mereka," katanya ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut, Jefridin berkata, pimpinan tertinggi BN seharusnya tidak lagi perlu terikat isu kerusi tradisi sewaktu membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi untuk PRN Johor.

"Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan presiden komponen parti perlu fikirkan perkara ini, jika kehendak rakyat tidak diikuti, saya risau rakyat akan beralih sokongan berikutan mempunyai banyak lagi parti politik yang boleh dipilih," katanya.

Dalam pada itu, Jefridin berharap UMNO Bahagian Tanjung Piai diberikan dua kerusi sama ada di peringkat DUN mahupun Parlimen, bagi PRN atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

"UMNO Bahagian Tanjung Piai cuma mempunyai satu kerusi DUN di Kukup. Manakala kerusi DUN Pekan Nanas dan Parlimen Tanjung Piai adalah kerusi MCA.

"Masyarakat Melayu kini menjadi majoriti di Pekan Nanas apabila merekodkan peningkatan 57 peratus manakala di Kukup meningkat 60 peratus perlu dipandang serius pucuk pimpinan BN sewaktu membuat pertimbangan sebelum sebarang keputusan berhubung parti dan calon diputuskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 2:35 PM