AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
AHMAD Zahid Hamidi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan MCA dan MIC akan diberikan kerusi untuk mereka bertanding di enam pilihan raya negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Beliau berkata, pengagihan kerusi bagi komponen Barisan Nasional (BN) itu akan mengambil kira kesesuaian dan memiliki kadar boleh menang yang tinggi.

"Saya ingin memaklumkan MCA dan MIC juga ada tempat dan ada kerusi kita berikan kepada mereka untuk bertanding (pada PRN).

"MIC dan MCA akan diberi kerusi di seluruh enam negeri yang ada PRN, kita pasti memperkirakan setiap parti itu akan diberikan tempat untuk bertanding dan tempat bersesuaian serta kebolehmenangan itu tinggi kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Portal Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Pertukaran Memorandum Kerjasama di sini, hari ini.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan hari ini dilaporkan menafikan partinya diperuntukkan kerusi untuk bertanding pada PRN di Selangor.

Tegasnya, laporan yang menyatakan parti itu turut diberikan kerusi di Selangor adalah tidak tepat.

"Laporan MIC diberi kerusi bertanding tidak tepat. MIC sebelum ini minta DUN Sentosa yang (kita) mempunyai peluang untuk menang.

"Namun, setelah rundingan antara PH dan BN, kerusi itu dikekalkan dengan PKR. Jadi, sehingga kini, MIC tidak dijanji mana-mana kerusi untuk bertanding di Selangor," katanya seperti dilaporkan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, jaminan yang diberikannya itu diharap dapat menghentikan segala desas desus kononnya parti komponen dalam gabungan itu dipinggirkan untuk bertanding pada PRN.

Mengenai rundingan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pihak berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan agihan kerusi.

Katanya, rundingan kerusi sudah dibuat beberapa kali antara BN dan PH, bukan membabitkan parti yang bergabung.

"Bergantung kepada tarikh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), saya fikir tidak terlalu lama, bila sahaja waktu sesuai untuk kami muktamadkan, saya yakin kita akan memuktamadkan pada tarikh ditentukan Perdana Menteri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2023 @ 5:25 PM