(kiri) GAMBAR terakhir Norhidayah bersama Nurhayati. (kanan) Gambar terakhir Sha Sabarina Marsom. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
(kiri) GAMBAR terakhir Norhidayah bersama Nurhayati. (kanan) Gambar terakhir Sha Sabarina Marsom. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Seorang ibu tidak menyangka semalam adalah kali terakhir dia memeluk dan mencium dua anak perempuannya sebelum kedua-dua mereka maut dalam kemalangan di Jalan Bernam di sini, petang yang sama.

Nurhayati Shanti Abdullah, 54, adalah ibu kepada Norhidayah Marsom, 20, dan Sha Sabarina, 27, yang meninggal dunia dalam kejadian nahas kira-kira jam 5 petang itu.

Mengimbau kembali detik terakhir bersama dua beradik perempuan itu, Nurhayati berkata masih terngiang-ngiang di telinganya hasrat mereka semalam.

"Sha Sabarina memberitahu hendak membantu keluarga, manakala Norhidayah pula nak kumpul duit untuk kahwin kerana bakal melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.

"Arwah berdua memberitahu saya nak pergi ke Australia selepas sambutan Aidilfitri. Mereka mahu bekerja di sana untuk setahun. Namun, hasrat itu tidak kesampaian kerana kedua-duanya terlebih dahulu dijemput Ilahi.

"Sebelum bertolak pulang, Sha Sabarina peluk saya lama dan beritahu supaya tidak sedih selain berjanji akan pulang setiap minggu untuk menjenguk saya.

"Tidak lama selepas itu, Norhidayah pula tanya kenapa saya tak nak peluk dan cium dia? Untuk tidak menghampakan harapan dia, saya peluk dan cium mereka berdua," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tanjong Karang (HTK), malam tadi.

Menurutnya, kedua-dua anaknya memberitahu perlu sampai ke Taman Sentosa sebelum 7 malam.

"Mereka sudah tiga bulan bekerja sebagai juruwang di kedai serbaneka di lokasi berasingan yang mana Sha Sabarina di Klang Jaya manakala Norhidayah di Sri Andalas, Klang," katanya.

Difahamkan, mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah kakak mereka (Siti Nur Khalifah, 36) di Taman Sentosa, Klang selepas berada di kampung halaman di Parit Pakat, Sungai Nibong, Sekinchan.

Nurhayati berkata, dia menerima perkhabaran pilu itu ketika sedang menunggu kelas fardu ain secara dalam talian di rumah.

"Bagaimanapun, kelas itu dibatalkan. Selang beberapa minit, Siti Nur Khalifah menghubungi saya pada 5.30 petang memaklumkan Norhidayah dan Sha Sabarina terbabit kemalangan.

"Mulanya saya ingatkan hanya kemalangan biasa tetapi sangkaan saya meleset dan terkejut apabila Siti Nur Khalifah sekali lagi memberitahu salah seorang daripadanya (Sha Sabarina) meninggal dunia.

"Saya yang cemas mendengar berita itu terus bergegas ke hospital. Dalam perjalanan, saya sekali lagi diberitahu Norhidayah pula pergi buat selamanya," katanya.

Tambahnya, pemergian dua beradik perempuan itu satu kehilangan besar memandangkan hubungan mereka rapat dan baik.

"Lemah seluruh badan apabila dua anak yang dikasihi pergi serentak dalam tempoh singkat.

"Saya seakan tidak percaya dengan kehilangan ini dan masih merasakan mereka masih ada," katanya.

Nurhayati berkata, jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 23 Sungai Nibong selepas selesai urusan bedah siasat.

Berita berkaitan:

  • 2 beradik maut dalam kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 11:21 AM