NURHAYATI tidak akan bertanding jawatan presiden untuk memberi laluan dan memberi sokongan penuh kepada Shahidan. FOTO Ihsan Nurhayati Karim
NURHAYATI tidak akan bertanding jawatan presiden untuk memberi laluan dan memberi sokongan penuh kepada Shahidan. FOTO Ihsan Nurhayati Karim
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Bekas atlet olahraga Selangor era 1990-an, Nurhayati Karim memaklumkan untuk mengundur diri daripada bertanding jawatan Presiden Kesatuan Olahraga (KOM) bagi penggal 2022/2025.

Keputusan itu diambil untuk memberi laluan kepada bekas presiden yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk bertanding bagi pemilihan penggal 2022/2025 badan induk itu 12 Jun ini.

Nurhayati sebelum ini menjadi melakar sejarah tersendiri apabila menjadi calon wanita pertama yang dicalonkan untuk jawatan presiden KOM selepas menerima pencalonan daripada Persatuan Olahraga Perak (POP).

Bagaimanapun selepas kertas pencalonan dibuka pada 1 Jun lalu, beliau memutuskan untuk mengundur diri.

"Nama saya dicalonkan lebih awal sebelum yang lain-lain namun selepas Shahidan bersetuju untuk bertanding saya memutuskan untuk mengundur diri.

"Saya tidak akan bertanding jawatan presiden untuk memberi laluan dan memberi sokongan penuh kepada Shahidan sebagai presiden KOM dan tidak akan menentang Datuk Seri.

"Terima kasih kepada semua yang menyokong dan mencalonkan saya sebelum ini," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.

Pengunduran Nurhayati itu bermakna, kerusi nombor satu badan induk itu kini akan menyaksikan saingan dua penjuru membabitkan penyandang jawatan, Datuk SM Muthu dan menentang Shahidan.

Shahidan bukanlah asing buat KOM apabila pernah menerajui badan induk itu pada 2006 hingga 2012 tetapi terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas tewas di tangan Datuk Zainal Abidin Ahmad dalam pemilihan bagi penggal 2013-2015.

Sementara itu, bagi jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertembungan di antara Datuk Fadzil A Bakar dan Datuk Seri V Pulanthiran.

Bagi jawatan naib presiden, Nurhayati sekali lagi dicalonkan yang menyaksikan kedudukan berkenaan turut mempunyai lima calon lain iaitu Syamsul Bani Abdullah, Josephine Kang, Datuk R Annamalai, Datuk Mark William dan Sallehuddin Satar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 7:27 PM