NURHAYATI (kanan) dipilih sebagai Presiden POS yang baharu. FOTO NSTP
NURHAYATI (kanan) dipilih sebagai Presiden POS yang baharu. FOTO NSTP
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Bekas jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei menyifatkan kepimpinan baharu Persatuan Olahraga Selangor (POS) sangat memuaskan.

Menurutnya, POS yang kini diterajui oleh Nurhayati Karim pasti mampu menyediakan kelengkapan dan tumpuan secukupnya bagi memperkasa semula pogram pembangunan akar umbi ini.

Hup Wei berkata, presiden POS penggal ini menjalankan tugasnya dengan cemerlang, malah kerja yang beliau jalankan adalah secara 'straight forward' dan prestasinya bagus.

"Bila POS diwujudkan semula, barulah ada pelapis atau atlet olahraga yang boleh bertanding di luar negeri.

"Malah, lebih baik jika kita ambil dan lantik mereka yang sebelum ini untuk menjadi wakil olahraga bagi menaikkan semula nama negeri Selangor.

"Selain itu, bekas atlet juga berpeluang menjadi jurulatih dibawah naungan POS dan ia juga perkara yang bagus buat atlet," katanya.

Pada masa sama, pembangunan semula POS membolehkan ahli persatuan mencari pihak penaja untuk membantu atlet olahraga menjalani latihan dengan lebih baik.

"Lebih bagus kalau kita dapat menaikkan semula prestasi persatuan ini, sekali gus dapat membantu atlet untuk pergi bertanding di mana-mana perlawanan luar negeri kerana majoriti atlet sekarang adalah dibawah naungan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya yang kini bergiat aktif sebagai jurulatih kebangsaan bagi sukan lompat tinggi.

Untuk rekod, POS menerima nafas baharu apabila Nurhayati Karim dilantik menjadi presiden badan induk berkenaan selepas dibatalkan pendaftaran selama dua tahun.

Nurhayati menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi mengetuai penggal 2024-2026.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 January 2024 @ 5:12 PM