BANGUNAN Mara di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
BANGUNAN Mara di Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
BERNAMA

Putrajaya: Lima pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) hari ini hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi membantu siasatan berkaitan isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan anak syarikat agensi itu, Mara Corporation (Mara Corp).

Mereka, yang juga antara 17 individu dikenal pasti bagi membantu siasatan kes itu, tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira 3 petang secara berasingan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"(Mereka) akan dilepaskan setelah tamat percakapan. Mereka dipanggil untuk dirakam keterangan," katanya.

Sabtu lalu, SPRM dilapor menerima laporan berhubung isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

Pada Ahad lalu pula, lima individu yang dikaitkan dengan dakwaan salah laku sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menafikan pembabitan mereka.

SPRM menyerbu ibu pejabat Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada Isnin lalu dan antara yang dirampas ialah kertas cadangan serta minit mesyuarat lembaga pengarah, dokumen kewangan dan senarai gaji serta dokumen membabitkan sumber manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 8:43 PM