AZAM ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khusus Asas Pegawai SPRM Siri 25 Bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Kompleks SPRM Johor. FOTO BERNAMA
AZAM ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khusus Asas Pegawai SPRM Siri 25 Bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di Kompleks SPRM Johor. FOTO BERNAMA
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Hasil siasatan bagi kes tiga pegawai Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) yang terbabit dalam salah guna kuasa dan salah urus syarikat sudah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada AGC untuk membuat pendakwaan dan yakin individu terbabit dapat diheret ke mahkamah.

"SPRM melengkapkan siasatan dan ia sudah dikemukakan kepada AGC sebelum ini, kita tunggu keputusannya tidak lama lagi.

"Saya percaya keputusannya nanti akan berakhir dengan pertuduhan kepada pihak kita cadangkan. Yang terbabit tiga orang, namun kita serahkan kepada AGC memperhalusi lagi sama ada tiga pertuduhan atau sebahagian daripadanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Khusus Asas Pegawai SPRM Siri 25 Bilangan 1/2021 (Penolong Penguasa Gred P29) di sini hari ini.

Sebelum ini, hanya lima pegawai kanan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) itu dipanggil untuk dirakam keterangan.

SPRM sudah memanggil 14 saksi terdiri daripada empat ahli Lembaga Pengarah dan tujuh individu dari pengurusan Mara Corp, dua pegawai Mara serta seorang dari sebuah syarikat setiausaha korporat dan syarikat perkhidmatan penyumberan luar korporat kepada agensi itu.

Isu terbongkar selepas tular di media sosial sepucuk surat permohonan untuk melakukan siasatan terhadap lima pegawai tinggi Mara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 3:31 PM