GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas perahu dinaiki karam di jeram Wong Pelagus, Sungai Batang Rajang di Kapit, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 11.35 pagi tadi.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bersama anggota polis bergerak ke lokasi yang mengambil masa dua jam perjalanan menaiki bot dari pekan Kapit.

"Menurut saksi, kejadian itu berlaku pada 4.30 petang semalam ketika dia bersama dua mangsa dalam perjalanan dari rumah panjang di Nanga Pelagus untuk menjala ikan.

"Saksi terbabit dalam laporannya memaklumkan, sebelum melalui kawasan jeram itu dia diarahkan oleh datuknya, Ngalang Demong dan bapa saudaranya, Richelles Seli Lasu supaya turun dari perahu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, saksi terbabit kemudian berjalan di tebing sungai, manakala datuk dan bapa saudaranya mengharungi jeram menggunakan perahu.

"Ketika cuba melalui jeram itu, saksi melihat perahu datuk dan bapa saudaranya karam dan kedua-dua mangsa hilang dibawa arus deras," katanya.

Menurutnya, gerakan awal mencari mangsa dilakukan oleh penduduk kampung, bagaimanapun kedua-dua mangsa gagal ditemui.

Jeram Wong Pelagus dikenal pasti jeram paling bahaya di negeri ini dan sejak lima dekad lalu sudah meragut puluhan nyawa penduduk apabila perahu mereka karam ketika melalui kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2022 @ 4:07 PM