Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Sarikei: Empat anak kapal sebuah tongkang membawa muatan batu kelikir hilang selepas tongkang itu karam berhampiran Kampung Petanak, Pulau Bruit di sini, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 8.33 pagi.

Jurucakap PGO berkata, pengadu memaklumkan tongkang membawa muatan batu kelikir yang membawa enam anak kapal tiba-tiba karam dan dua anak kapal yang selamat, berjaya berpaut pada bahagian belakang kapal.

"Nasib empat lagi awak-awak masih belum diketahui," katanya.

Jurucakap itu berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah dalam perjalanan ke lokasi kejadian.

Katanya, dua bot Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut dalam perjalanan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2016 @ 11:42 AM