SEORANG anak kapal hilang selepas kapal pengangkut pasir karam di Beladin, Pusa hari ini. FOTO ihsan JBPM
SEORANG anak kapal hilang selepas kapal pengangkut pasir karam di Beladin, Pusa hari ini. FOTO ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seorang anak kapal hilang selepas kapal pengangkut pasir terbalik sebelum karam di Beladin, Pusa di Betong, hari ini.

Mangsa, Nicholas Julius dipercayai terperangkap di dalam kapal berkenaan yang karam dan terbalik dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, empat lagi anak kapal berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tapak pembinaan jambatan Beladin.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan daripada anggota Balai Polis Pusa yang memaklumkan kejadian itu.

"Empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok diarahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

"Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan bagi mengesan mangsa yang dipercayai masih berada di dalam kapal berkenaan," katanya.

Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 2:17 PM