Satu mesin ATM di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru diletup dan sejumlah wang dilarikan dalam kejadian pada awal pagi tadi. FOTO IHSAN PDRM
Satu mesin ATM di sebuah kedai serbaneka di Pekan Meru diletup dan sejumlah wang dilarikan dalam kejadian pada awal pagi tadi. FOTO IHSAN PDRM
Norzamira Che Noh


Klang: Sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kedai serbaneka di pekan Meru, dekat sini, diletupkan dan sejumlah wang dilarikan dalam kejadian pada awal pagi hari ini.

Difahamkan, kejadian itu disedari pekerja kedai serbaneka berkenaan ketika mahu membuka kedai pada 8 pagi selepas mendapati pintu kaca kedai pecah selain pintu pada mesin ATM terbuka.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 4.50 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian itu dipercayai dilakukan dua individu yang memecah masuk kedai serbaneka melalui pintu hadapan.

"Kedua-dua suspek dipercayai meletupkan mesin ATM di dalam kedai serbaneka itu sebelum melarikan sejumlah wang.

"Jumlah wang dilarikan masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Februari 2022 @ 8:33 PM