KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Rosman Shamsudin
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Rosman Shamsudin
Rosman Shamsudin


“SEMASA tidur di rumah jam 6.30 pagi, saya terdengar letupan kuat di bangunan kedai berdekatan rumah menyebabkan saya terus bangun dan memberanikan diri keluar dari rumah.

“Sebaik keluar, saya terkejut melihat pintu kaca bank berkenaan pecah dan ternampak beberapa individu berada di hadapan bangunan itu,” kata seorang penduduk dikenali.

Pada kejadian itu, tiga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala, Mualim, diletupkan oleh sekumpulan perompak.

Mereka dipercayai melarikan wang tunai dianggarkan berjumlah RM300,000.

Saksi itu berkata, dia kemudiannya melihat beberapa individu itu dalam keadaan kelam-kabut dipercayai cuba mengambil wang dari mesin ATM sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta berwarna merah.

Katanya, dia tidak berani untuk ke kawasan bank berkenaan kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini, dan hanya menghampiri kawasan itu sebaik melihat anggota polis tiba.

“Saya tidak sangka kejadian ini berlaku di bank berdekatan tempat tinggal saya dan masih terkejut dengan bunyi letupan yang begitu kuat itu. Letupan kuat itu turut menyebabkan pintu kaca bank berkenaan pecah,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihak bank memaklumkan sudah memasukkan wang berjumlah RM300,000 petang semalam, ke dalam kesemua mesin ATM berkenaan.

Katanya, siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati tiga mesin ATM rosak dipercayai diletupkan perompak dan kesemua wang di dalam mesin berkenaan dilarikan.

“Polis turut menemui cecair bahan kimia di kawasan parkir dipercayai bahan yang digunakan untuk meletupkan mesin ATM itu. Terdapat tiga kesan tompokan darah dipercayai milik suspek yang terkena kaca cermin.

“Jumlah kerugian sebenar belum dipastikan lagi dan polis sedang menunggu unit forensik menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian,” katanya.

Berita berkaitan

Tiga mesin ATM diletupkan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Ogos 2019 @ 11:17 AM