SEBUAH mesin ATM dirosakkan penjenayah di sebuah bank di Tanah Merah. FOTO ihsan pembaca
SEBUAH mesin ATM dirosakkan penjenayah di sebuah bank di Tanah Merah. FOTO ihsan pembaca
Siti Rohana Idris


Tanah Merah: Seorang lelaki nekad memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di sini, awal pagi tadi, dengan menggunakan mesin canai namun cubaannya itu gagal.

Kejadian disedari kakitangan bank terbabit pada jam 7.16 pagi tadi yang terkejut melihat satu daripada tiga mesin ATM rosak dengan terdapat kesan dicanai di bahagian bawah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kelihatan seorang lelaki berjalan dengan membawa sebuah kerusi plastik memasuki ruang menempatkan mesin ATM pada jam 1.59 pagi tadi.

"Suspek memakai topi berwarna kelabu, berbaju T lengan panjang warna merah dan berseluar jeans biru serta mengenakan sarung tangan dan pelitup muka.

"Selepas masuk ke ruang mesin ATM, suspek bertindak menutup CCTV yang dengan menggunakan pita pelekat selain melekatkan kertas minyak pada pintu utama bagi mengelakkan perbuatannya dilihat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Zulfikri berkata, berdasarkan semakan CCTV di luar bank, didapati suspek keluar daripada ruang mesin ATM pada jam 2.05 pagi dan masuk semula untuk mengambil barang sebelum beredar jam 3.15 pagi dengan menggalas beg.

Beliau berkata, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati pintu penutup satu daripada mesin ATM dipotong disyaki dengan menggunakan mesin canai.

Menurutnya, terdapat juga kesan potong pada pintu mesin ATM namun gagal dibuka memandangkan ia menggunakan sistem nombor kombinasi serta kunci.

"Setakat ini pintu mesin ATM itu tidak dapat dibuka dan mengalami kerosakan bagaimanapun daripada semakan melalui sistem, didapati masih lagi terdapat baki wang sebanyak RM152,900.

"Tiada pengawal keselamatan ditempatkan di bank terbabit selepas waktu pejabat dan berdasarkan semakan dengan pihak bank mendapati pintu utama ke ruang mesin ATM tidak berfungsi sejak sebulan lalu kerana ia sepatutnya tertutup secara automatik pada jam 12 tengah malam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 380/511 Kanun Keseksaan (KK) dan kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar menghubungi pihak kami bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 3:32 PM