Siti Rohana Idris


Kuala Krai: Kira-kira 6,500 penduduk di Chuchoh Puteri A dan Chuchoh Puteri B, di sini, memohon agar kawasan tadahan air di Sungai Sok yang digunakan mereka diwartakan.

Ini berikutan penduduk bimbang jika kawasan tadahan itu menerima impak besar akibat aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) blok Sungai Rek, di sini, yang berlaku sejak sekian lama.

Penduduk Osman Abdullah, 54, berkata sebelum ini mereka menggunakan air tandak yang ditadah di kawasan sungai itu sejak 1982.

Bagaimanapun, dakwanya, air sungai bertukar menjadi keruh seperti teh susu setiap kali hujan akibat kesan pembalakan.

"Akibat itu, kami mencari kawasan tadahan lain iaitu tiga kilometer dari lokasi asal kira-kira tiga tahun lalu dengan mengeluarkan wang sendiri termasuk menebalkan muka meminta derma untuk membeli paip baharu.

"Sejak menggunakan air tandak di kawasan tadahan baru itu, kami belum menerima kesan yang teruk seperti sebelum ini.

"Tapi kini sudah beberapa kali air paip bertukar warna dan kami syak ada selut atau tanah hasil pembalakan jatuh ke dalam sungai," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, dua kampung itu terpaksa menggunakan sumber air tandak disebabkan bekalan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak sampai di kawasan berkenaan.

Penduduk lain, Mail Jusoh, 69, berkata, permohonan untuk mewartakan lima kompartmen pembalakan di sekitar kawasan tadahan air itu sudah disuarakan sejak 2009.

Menurutnya, rayuan yang dibuat seakan tidak diendahkan dan mereka terpaksa mengalah dengan mencari kawasan tadahan lain selain membeli air bersih untuk memasak atau minum.

"Sudah lebih 10 tahun kami merayu dan memohon agar diwartakan kawasan tadahan air ini.

"Bukan sahaja rumah penduduk, premis yang menggunakan air tandak termasuk juga sekolah, pondok polis dan masjid yang adakalanya memang tidak tergamak untuk mengambil wuduk.

"Kami bukan ingin kegiatan pembalakan dihentikan, sebaliknya gantikan dengan kompartmen lain dan jangan (membalak) di sekitar kawasan tadahan air," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, syarikat berkenaan memiliki kelulusan lesen pembalakan lama, tetapi sudah diarahkan menghentikan aktiviti mereka.

"Saya merancang untuk mengadakan pertemuan dengan semua pihak terbabit termasuk pelesen, penghulu dan lain-lain stakeholder untuk perbincangan di lapangan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 2:52 PM
Penduduk di Chuchoh Puteri A dan Chuchoh Puteri B memohon agar kawasan tadahan air di Sungai Sok yang digunakan mereka diwartakan. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Penduduk di Chuchoh Puteri A dan Chuchoh Puteri B memohon agar kawasan tadahan air di Sungai Sok yang digunakan mereka diwartakan. FOTO SITI ROHANA IDRIS