FOTO Hiasan Ihsan Aimi Ali Aerial Production
FOTO Hiasan Ihsan Aimi Ali Aerial Production
Zuhainy Zulkiffli


PEMBALAKAN di Hutan Simpan Ulu Muda Kedah (UMFR) mesti dihentikan dengan segera selain dilindungi serta dipelihara sebagai kawasan tadahan air mentah Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Ia berikutan pendedahan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) baru-baru ini mengenai aktiviti pembalakan yang sudah dijalankan di situ sejak tahun 2008, dikhuatiri akan memusnahkan sumber air bagi kegunaan penduduk.

Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) DatukJaseni Maidinsa berkata, pada asasnya, hutan simpan berkenaan menjadi kawasan tadahan air bagi tiga empangan utama di Kedah iaitu Empangan Ahning, Muda dan Pedu.

Selain itu, beliau berkata, ia menjadi tadahan air bagi Sungai Muda yang juga sumber air mentah utama Pulau Pinang, sekali gus menjadi sumber air bagi kegunaan kira-kira 4.09 juta penduduk di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, pembalakan yang dijalankan akan 'membersihkan' kawasan hutan menyebabkan tanah terdedah dan apabila hujan, tanah serta serpihan pembalakan akan dihanyutkan ke dalam empangan dan sungai.

"Ia menyebabkan terjadinya mendapan tanah, sekali gus mengurangkan kapasiti penyimpanan air empangan serta menjejaskan aliran sungai.

"Kualiti air mentah disalurkan ke Pulau Pinang dari Sungai Muda kelihatan seperti 'teh tarik' dan PBAPP perlu merawatnya dengan berhati-hati supaya selamat digunakan," katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Jaseni berkata, PBAPP berharap supaya Kerajaan Negeri Kedah memberi tumpuan kepada pembalakan haram terbabit selain mendapat campur tangan daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, jika lebih banyak pokok ditebang dalam rizab hutan berkenaan, apabila paip kering pada masa akan datang, penduduk serta perniagaan di tiga negeri terbabit akan terjejas dan menderita.

"Timbul persoalan mengenai berapa banyak hektar sudah digondol sejak 2008 dan berapa banyak lagi akan digondol pada tahun ini?

"Mengapa pembalakan dibenarkan serta dilesenkan dalam hutan simpan dan siapa yang sepatutnya bertanggungjawab bagi memantau status atau keadaannya sebagai kawasan tadahan air?" katanya.

Terdahulu dalam penemuan PEKA menerusi akhbar tempatan tahun lalu, mendapati pembalakan di UMFR sudah dijalankan sehingga 50 kilometer dalam hutan simpan dan 1,200 hektar kini sudah ditandakan sebagai kawasan pembalakan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 5:34 PM