ALI Hanapiah Mohamed, (dua dari kanan) menyerahkan Memorandum Pengguna Tandak Air Mengkebang kepada Mohd Asri Mat Daud, (kiri) di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
ALI Hanapiah Mohamed, (dua dari kanan) menyerahkan Memorandum Pengguna Tandak Air Mengkebang kepada Mohd Asri Mat Daud, (kiri) di sini, hari ini. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Penduduk di Kampung Mengkebang di Kuala Krai mendakwa kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Durian merosakkan empat tandak air (kolam takungan) sehingga menjejaskan sumber air lebih 10,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Wakil penduduk, Ali Hanapiah Mohamed, berkata pihaknya difahamkan sebanyak 1,000 hektar tanah dijadikan lokasi pembalakan yang secara tidak langsung turut menjejaskan empat tandak yang menjadi sumber air utama penduduk.

Katanya, susulan keadaan itu, sumber air yang diterima penduduk menjadi kotor, berpasir dan lebih teruk lagi apabila bekalan air terputus serta mengganggu aktiviti seharian penduduk di sana.

"Tandak air di kawasan itu sudah dibuka sejak 1989 bagi kemudahan masyarakat setempat dan mula timbul masalah sejak tahun 90-an lagi apabila pembalakan mula dijalankan. Kini, ia semakin parah kerana mula mengganggu sumber air utama kami.

"Justeru penduduk berpakat menandatangani satu memorandum untuk dihantar kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dengan menyatakan beberapa hasrat termasuk memohon kerajaan negeri membatalkan pembalakan yang diluluskan.

"Selain itu, penduduk juga mahu kerajaan negeri mengazetkan hutan ini sebagai kawasan kekal untuk sumber air sebagaimana yang dilakukan di Gunung Stong, Dabong dan sekiranya kecuaian dalam meluluskan pembalakan berlaku, diminta untuk diperbaiki semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui bersama lebih 20 penduduk yang turun padang menyampaikan Memorandum Pengguna Tandak Air Mengkebang kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohd Asri Mat Daud, di hadapan Pejabat Setiusaha Kerajaan Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman menerusi Facebook memaklumkan, empat tandak air dalam kompartmen 98 dan 101 sudah diwartakan sebagai kawasan tadahan air serta tidak dibenarkan sebarang pembalakan.

"Hasil tinjauan kami ke lokasi, tiada sebarang kerja pembalakan dilakukan, hanya terdapat sebuah jentolak milik pembalak yang sudah ditempatkan di kawasan kompartmen yang baru diluluskan

"Isu yang timbul ialah apabila dua kompartmen bersebelahan iaitu 99 dan 100 diberikan lesen untuk tujuan pembalakan. Jika kompartmen berkenaan diteruskan dengan pembalakan ia menjejaskan kawasan tadahan air sekali gus merosakkan tandak air yang ada.

"Pihak kami menghantar surat bantahan pada 17 April lalu kepada Menteri Besar Kelantan agar dibatalkan lesen pembalakan di dua kompartmen terbabitdan diluluskan serta merta pada keesokannya demi menjaga keperluan air penduduk, masjid, sekolah dan beberapa buah surau," katanya.

Beliau turut meminta jangan ada pihak cuba menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan di sebalik apa jua isu yang berlaku kerana kepentingan rakyat diutamakan serta perbincangan sentiasa diadakan dengan kerajaan negeri bagi mencapai resolusi terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 5:04 PM