GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Masih ramai pemandu kenderaan berat gemar membawa muatan berlebihan hingga mengakibatkan kemalangan.

Ia terbukti apabila Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mengesan sebanyak 7,801 kesalahan lebih muatan dan 1,697 kesalahan muatan bahaya membabitkan kenderaan berat sepanjang tahun lalu.

Angka mengejutkan itu membuktikan segelintir pemandu dan pengusaha lori sanggup menggadaikan nyawa pengguna jalan raya lain demi mengaut keuntungan.

Rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu mengukuhkan lagi dakwaan itu apabila sebanyak 2,155 kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan barangan direkodkan di Negeri Sembilan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,766 adalah membabitkan lori rigid dan 389 lagi adalah treler.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, berdasarkan statistik 2021, sebanyak 30,859 kesalahan membabitkan kenderaan barangan direkodkan dan hampir satu pertiga daripadanya adalah kesalahan membabitkan muatan.

"Ada yang membawa muatan menyamai dua lori iaitu lebih 80 peratus dan bagi kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda mengikut Seksyen 57(3) akta sama iaitu tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih RM500,000," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa memandang serius kesalahan membabitkan pengusaha dan pemandu lori yang membawa lebih muatan kerana boleh memberi risiko kepada pengguna jalan raya lain.

Sepanjang tahun lalu sebanyak 65,932 kenderaan barangan diperiksa dan 13,572 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 2:53 PM