Ahmad Hasbi


Nilai: Bukan sahaja membawa muatan batu melebihi paras pagar, sebuah lori turut dikesan mengubahsuai struktur kenderaan bagi membolehkannya membawa lebih muatan untuk satu perjalanan.

Lebih mengejutkan, ketika ditimbang dalam Ops Tutup Khas, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati muatan dalam lori yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun itu melebihi 92 peratus, hampir menyamai muatan bagi dua lori.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam operasi yang bermula sejak Isnin lalu itu, pihaknya menahan lori di Lebuhraya Utara- Selatan di sekitar Seremban, Nilai dan Port Dickson yang didapati membawa muatan melebihi had sebelum kenderaan perdagangan itu dibawa ke Nilai Impian untuk ditimbang.

"Dalam operasi bermula jam 7 pagi ini, pihak kami melakukan pemeriksaan terhadap 35 lori sebelum lapan daripadanya diambil tindakan kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk muatan melebihi had. Sebanyak 28 notis dikeluarkan.

"Dalam pemeriksaan ini juga, pihak kami mengesan lori membuat penambahan pada pagar dan lantai bagi membolehkan lebih banyak muatan dapat dibawa. Ini satu kesalahan mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, Kesalahan Teknikal bagi Kenderaan Perdagangan (Ubah Suai Struktur dan Kelengkapan Kenderaan Tanpa Kebenaran)," katanya.

HANIF Yusabra Yusuf menunjukkan ubahsuai yang dilakukan pada sebuah lori untuk membawa muatan berlebihan pada Ops Tutup Khas, Lebih Muatan di Nilai Impian. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
HANIF Yusabra Yusuf menunjukkan ubahsuai yang dilakukan pada sebuah lori untuk membawa muatan berlebihan pada Ops Tutup Khas, Lebih Muatan di Nilai Impian. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Beliau berkata, pihaknya mengesan taktik digunakan pemilik lori berkenaan sudah banyak dilakukan dan ia membahayakan pengguna jalan raya lain bukan sahaja dibimbangi muatan akan terkeluar dari lori, malah dikhuatiri hilang kawalan.

"Berat dengan muatan (BDM) yang tertera pada lori berkenaan hanya dibenarkan 23,500 kilogram (kg), namun selepas ditimbang BDMnya adalah seberat 45,290 kg iaitu melebihi had sebanyak 92 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang Januari sehingga Oktober 2021, sebanyak 39,692 kenderaan berat diperiksa dan sebanyak 25,150 kesalahan dikesan menerusi Ops Tutup Khas di seluruh Negeri Sembilan.

"Kesalahan membabitkan lebih muatan adalah tertinggi iaitu sebanyak 6,972 kes dan diikuti kesalahan teknikal sebanyak 6,799 kes.

"Bagi kesalahan membawa lebih muatan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) APAD 2010, boleh dikenakan hukuman denda mengikut Seksyen 57(3) akta sama," katanya.

CAPTION: Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf menunjukkan ubahsuai yang dilakukan pada lori bagi membolehkan ia membawa lebih muatan pada Ops Tutup Khas di Nilai Impian, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 3:01 PM