OPS Tutup Khas yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh Negeri Sembilan sejak 7 Disember lalu.  FOTO Ihsan JPJ
OPS Tutup Khas yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh Negeri Sembilan sejak 7 Disember lalu. FOTO Ihsan JPJ
Ahmad Hasbi

Seremban: Terdapat segelintir pengusaha lori di negeri ini dikesan mengubahsuai lori bagi membolehkan kenderaan perdagangan itu membawa muatan lebih banyak bagi menjimatkan kos perjalanan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan hasil operasi Ops Tutup Khas dijalankan sejak empat hari lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihaknya secara konsisten melaksanakan penguatkuasaan terhadap kenderaan barangan yang membawa muatan berlebihan.

"Dalam operasi tertumpu di kawasan kuari di seluruh Negeri Sembilan, kami memeriksa 1,510 kenderaan berat dan 281 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan seperti lebih muatan, ubahsuai kenderaan dan lain-lain kesalahan teknikal.

"Sejumlah 489 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan lebih muatan ( 52 saman) dan 27 saman kerana membawa muatan bahaya," katanya tadi.

Beliau berkata, antara kesalahan lain yang dikesan adalah tiada lesen kompeten (CDL), tiada lesen pengangkutan barang (GDL), tiada insurans, cukai jalan tamat tempoh dan pemeriksaan berkomputer tamat tempoh.

"Manakala bagi kesalahan teknikal, kami mengesan ubahsuai bentuk dan peralatan lori iaitu menambah pagar untuk tujuan membawa lebih banyak muatan, cermin gelap, brek dan tayar haus," katanya.

Hanif berkata, pihaknya menggerakkan hampir keseluruhan penguatkuasa JPJ dari seluruh Negeri Sembilan untuk operasi kali ini yang memberikan tumpuan di kawasan kuari kerana mendapati kebanyakan lori yang membawa muatan pasir atau batu yang kerap melanggar peraturan jalan raya.

"Masih ada segelintir pengusaha atau pemandu lori yang membuat ubahsuai dengan menambah pagar bertujuan membawa muatan secara berlebihan. Ia kononnya menjimatkan kos operasi mereka.

"Bagaimanapun, apabila sikap tamak ini dilakukan, ia boleh menyebabkan lori tidak selamat untuk dipandu di jalan sehingga membahayakan pengguna lain malah pemandu juga sukar untuk mengawal lori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 5:08 PM