ANGGOTA JPJ menahan lori membawa muatan batu kasar secara berlebihan. FOTO Zaid Salim
ANGGOTA JPJ menahan lori membawa muatan batu kasar secara berlebihan. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


Besut: Penyamaran anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai orang awam berjaya mengaburi mata pemberi maklumat atau 'tonto' apabila 26 lori membawa muatan batu kasar secara berlebihan ditahan dalam operasi dua hari berakhir Selasa lalu.

Difahamkan, tindakan 'tonto' sebelum ini menyebabkan pemandu lori bebas membawa muatan batu secara berlebihan dari Kuari Bukit Yong, di sini, ke Kampung Bintang, Setiu, membabitkan jarak perjalanan sejauh kira-kira 30 kilometer.

Pengarah JPJ Terengganu Zulkarnain Yasin berkata, menerusi operasi yang dilakukan dengan kerjasama polis itu, sebanyak 89 lori diperiksa dan 26 daripadanya dikenakan notis saman membabitkan pelbagai kesalahan dengan jumlah keseluruhan 133 notis.

"Lima kes membabitkan kesalahan lebih muatan, empat kes membawa muatan secara berbahaya, teknikal (63 notis) dan 61 notis membabitkan lain-lain kesalahan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, pihaknya terpaksa melakukan penyamaran kerana kehadiran 'tonto' menyebabkan beberapa operasi yang dijalankan sebelum ini gagal.

"JPJ dengan kerjasama polis akan melakukan pemantauan secara berkala di sepanjang laluan terbabit bagi memastikan lori yang membawa muatan batu ke tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kampung Bintang, Setiu itu mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 2:58 PM