Orang ramai melihat kemalangan membabitkan dua motosikal di Rantau Panjang. FOTO ihsan pembaca
Orang ramai melihat kemalangan membabitkan dua motosikal di Rantau Panjang. FOTO ihsan pembaca
Syaherah Mustafa


WARGA emas berusia 61 tahun maut selepas motosikalnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal lain di hadapan Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi, mangsa, Ab Aziz Abdullah yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Rantau Panjang.

Mayatnya dibawa ke Hospital Pasir Mas bagi dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan.

Seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Khairul Ismail, 31, yang turut parah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, ketika kejadian mangsa menunggang motosikal jenis Honda C70 dari Lubok Stol menghala ke pekan Rantau Panjang.

Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai membelok ke kanan sebelum bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC dari arah sama.

"Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa terpelanting di atas jalan dan mengalami kecederaan parah.

"Kedua-dua mangsa dibawa ke klinik berhampiran dan Ab Aziz disahkan meninggal dunia manakala Mohd Khairul kemudian dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 9:54 PM