GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Butterworth: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang merampas 2,807 helai pakaian pelbagai jenama terkenal tiruan bernilai RM14,780 dalam serbuan di Taman Dahlia dan Taman Tasek Mutiara, Simpang Ampat, di sini semalam.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan dibuat hasil aduan daripada syarikat jenama terkenal berkenaan dan pemeriksaan di dua premis perniagaan itu pada jam 2 petang mendapati premis itu dijadikan stor menyimpan semua pakaian.

"Dalam dua serbuan itu, kami turut menahan dua lelaki berusia 34 serta 55 tahun, dan pemeriksaan mendapati semua pakaian berjenama terkenal yang dirampas itu adalah tiruan, dijual dengan harga lebih murah berbanding yang asli," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati mereka menjual pakaian berkenaan di sekitar negeri ini secara dalam talian, dan penjual dipercayai mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 5:57 PM