Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas sejumlah 3,461 pakaian dan beg berjenama disyaki tiruan bernilai RM68,040 di tiga premis berasingan semalam.

Semua rampasan itu hasil satu serbuan di Kuala Terengganu dan dua di Kuala Berang kira-kira jam 2 petang.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan hasil laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki barangan yang diniagakan menerusi platform media sosial itu adalah tiruan.

"Bermula daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sebagainya, kita perhatikan kebanyakan peniaga menggunakan platform media sosial seperti Tik Tok dan Facebook.

"Mereka menggunakan Facebook dan Tik Tok untuk mempromosikan dan menjual barangan dengan premis berkenaan dijadikan stor untuk menyimpan barangan.

"Dalam serbuan ini, kita menahan dua pemilik iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 30-an," katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Terengganu di sini hari ini.

Saharuddin berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya.

Dalam pada itu, Saharuddin berkata, pihaknya turut menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan taktik peniaga yang yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah.

Katanya, KPDNHEP juga mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran sedia ada.

"Ia bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 12:24 PM
SAHARUDDIN Mohd Kia (kanan) memeriksa barangan tiruan yang berjaya dirampas. FOTO: Ghazali Kori
SAHARUDDIN Mohd Kia (kanan) memeriksa barangan tiruan yang berjaya dirampas. FOTO: Ghazali Kori