PENGUAT kuasa KPDNHEP memeriksa kasut tiruan yang dijual di premis sebuah pusat beli-belah. FOTO Ihsan KPDNHEP
PENGUAT kuasa KPDNHEP memeriksa kasut tiruan yang dijual di premis sebuah pusat beli-belah. FOTO Ihsan KPDNHEP
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Sebanyak 1,245 kasut wanita dan kanak-kanak tiruan bernilai RM87,979 dirampas dalam serbuan di sebuah pusat beli-belah di Jalan Sultan Abdul Jalil, di sini, hari ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata, operasi yang bermula 10.30 pagi itu dilakukan berikutan aduan dan risikan yang diterima daripada wakil pemilik cap dagang.

"Hasil pemeriksaan lanjut kita menemukan 1,245 unit kasut wanita dan kasut kanak-kanak perempuan pelbagai corak, saiz dan warna yang menggunakan cap dagangan berdaftar berjenama terkenal.

"Selain itu, kami menemukan 800 unit plastik beg menggunakan label bertanda berjenama terkenal disyaki tiruan serta 800 unit pelekat bersama beberapa dokumen perniagaan disita untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu pekerja terbabit dan seorang pemilik perniagaan warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Jun 2022 @ 11:17 PM