Jasri Kasim ketika sidang media selepas Program Keselamatan Solidariti Palestin Bersama Penjawat Awam di Perkarangan Wisma Persekutuan Kota Bharu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Jasri Kasim ketika sidang media selepas Program Keselamatan Solidariti Palestin Bersama Penjawat Awam di Perkarangan Wisma Persekutuan Kota Bharu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) daripada Kerajaan Persekutuan dan penghulu oleh kerajaan negeri di satu mukim yang sama memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat.

Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim berkata, pada masa sama, kedua-dua pelantikan berkenaan juga tidak akan menimbulkan masalah.

"Saya rasa tidak ada isu disebabkan kedua-dua pihak berada di satu tempat.

"Sebagai contoh, apabila sumbangan atau bantuan, sekurang-kurangnya kita akan dapat nama dari kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Keselamatan Solidariti Palestin Bersama Penjawat Awam di Perkarangan Wisma Persekutuan Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jasri berkata, walau bagaimanapun, buat masa sekarang pihaknya masih lagi menunggu daripada peringkat akar umbi untuk mencadangkan senarai JPKKP.

"Kita masih menunggu dan saya menjangkakan mungkin sebelum akhir November ini, senarai nama akan diperoleh selepas menerima pemilihan oleh masyarakat di 636 lokasi yang mewakili mereka.

"Pada masa sama, kita juga akan meneliti senarai nama ini dan membuat tapisan dan melihat senarai itu benar-benar mewakili penduduk atau tidak.

"Syor pelantikan ini akan dihantar kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW)," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 636 JPKKP di Kelantan akan dilantik bagi mewakili Kerajaan Persekutuan pada November ini.

Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang dalam proses mengenal pasti mereka yang bakal dilantik sebagai JPKKP dan proses pemilihan untuk mendapatkan wakil.

Urus setia pelantikan adalah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang turut menyelaraskan pelantikan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 1:28 PM