Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM), Jasri Kasim. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Kelantan menyerahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk menyiasat dakwaan berkaitan penipuan penerimaan bantuan banjir di negeri ini.

Pengarahnya Jasri Kasim berkata, ia bagi pihak yang menguruskan bantuan terbabit dapat melakukan siasatan secara adil.

"Kami memahami dalam musim banjir, mungkin mangsa banjir menghadapi banyak kesukaran.

"Insya-Allah, bantuan akan diberikan kepada mereka yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) dan perkara ini akan disahkan di peringkat jawatankuasa pengurusan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jelajah e-Kasih@ Kota Lama di Dataran Muhammadi, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan terdapat penduduk yang tidak terkesan dalam banjir didakwa sanggup menipu dengan berpindah ke PPS semata-mata untuk mendapatkan bantuan.

Malah, ada antara mereka dikatakan turut memanggil anak masing-masing yang berada di luar daerah supaya pulang dan berpindah ke PPS untuk 'merebut' bantuan RM3,500 bagi setiap keluarga yang disediakan oleh kerajaan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan pendaftaran di hampir semua PPS di Pasir Mas dikatakan penuh, sedangkan cuaca semakin baik sejak beberapa hari lalu dan banjir baru-baru ini dianggap pada tahap biasa.

Dalam perkembangan lain, Jasri berkata, pihaknya akan menerima 8,268 senarai nama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) daripada wakil komuniti pada 11 Disember ini.

Katanya, terdapat 13 jawatankuasa dalam JPKKP dan mereka dijangkan memulakan tugas pada tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 2:17 PM