JALALUDDIN (kanan) ketika berbual dengan Zaharah Abdullah,  mangsa banjir di Kampung Gedang selepas majlis kesyukuran JPKKP Ulu Klawang, semalam. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
JALALUDDIN (kanan) ketika berbual dengan Zaharah Abdullah, mangsa banjir di Kampung Gedang selepas majlis kesyukuran JPKKP Ulu Klawang, semalam. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu : Banjir terburuk berlaku pada 18 Disember lalu di daerah ini menyebabkan kerugian lebih RM50 juta membabitkan kerosakan infrastruktur dan kediaman penduduk.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sebanyak 1,680 ketua isi rumah (KIR) terjejas akibat banjir sama ada rumah ditenggelami air, rosak atau 100 peratus musnah.

Katanya, kerja membaiki rumah yang rosak dan membina baharu rumah yang musnah akan disiapkan dalam tempoh tiga bulan selepas semua maklumat lengkap diperolehi.

"Bagi kerja baik pulih jalan raya, jambatan dan jalan kampung, ia dalam proses tender. Selepas itu kerja pembaikan boleh dilaksana bermula 1 Februari dan perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

"Kos sebenar kerugian akibat banjir belum diketahui secara lengkap kerana masih dalam pengumpulan data berkaitan. Namun RM50 juta ini adalah anggaran diperolehi ketika ini," katanya pada Majlis Kesyukuran Jawatankuasa Pembangunan dan keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Ulu Klawang di sini, semalam.

Jalaluddin berkata, bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) kerajaan persekutuan, kesemua KIR terjejas sudah menerima bantuan RM1,000 diberi itu.

Katanya, bantuan pembelian perabot berjumlah RNM2,500 pula akan disalurkan mulai esok dan KIR yang benar-benar layak menerima bantuan berkenaan sedang diperhalusi.

Sementara itu Jalaluddin berkata kerajaan sedang berusaha membaik pulih jalan Genting Peras - Kuala Klawang yang mengalami kejadian tanah runtuh sebelum dibuka semula kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata, satu sistem amaran banjir akan diperkenalkan bagi membantu penduduk bersiap sedia sekiranya berlaku banjir.

Katanya sistem amaran termasuk siren itu antara pelan jangka panjang yang akan dicadangkan kepada pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)bagi membolehkan penduduk bersedia sekaligus dapat mengelakkan kerugian besar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 January 2022 @ 1:54 PM