Salah seorang mangsa yang melecur tahap dua sejurus terkena renjatan elektrik di sebuah premis Jalan Sungai Nyigu, hari ini. FOTO ERIKA GEORGE
Salah seorang mangsa yang melecur tahap dua sejurus terkena renjatan elektrik di sebuah premis Jalan Sungai Nyigu, hari ini. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George

Bintulu: Dua pekerja cedera selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja memasang bumbung sebuah premis di Jalan Sungai Nyigu di sini, hari ini.

Seorang mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 52 melecur tahap dua di badan, manakala seorang lagi rakannya, seorang lelaki Indonesia berusia 29 tahun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota bomba ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.42 pagi.

Menurutnya, tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati seorang mangsa masih lagi terbaring di atas bumbung premis, manakala seorang lagi rakannya sudah turun.

"Bagi tujuan keselamatan, pasukan kita meminta bantuan Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi mematikan arus elektrik di bangunan premis untuk memudahkan kerja mengeluarkan seorang lagi mangsa yang masih berada atas bumbung," katanya.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan tangga bagi mendapatkan mangsa sebelum menurunkannya dengan menggunakan pengusung khas.

Katanya, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum membawa kedua-duanya ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Punca berlaku renjatan itu masih lagi dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 January 2022 @ 4:43 PM