KEADAAN  van sekolah yang  terbakar dalam perjalanan ke sekolah di hadapan Klinik Kesihatan Tatau, Bintulu.
KEADAAN van sekolah yang terbakar dalam perjalanan ke sekolah di hadapan Klinik Kesihatan Tatau, Bintulu.
Erika George


TATAU: Dua beranak parah apabila terkena renjatan elektrik selepas van sekolah dinaiki mereka terlanggar kabel elektrik yang terjatuh di simpang keluar Taman Lee Cheng, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tatau Deputi Superintendan Dennis Bunyam berkata, mangsa adalah pemandu wanita, Singa Gawan, 55, dan anak lelakinya, Allister Kilat, 11, murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua, di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati dua beranak itu mengalami kecederaan apabila kabel elektrik itu terkena bahagian depan van Nissan hingga menyebabkan enjinnya terbakar 10 peratus dalam kejadian jam 6.45 pagi.

“Ketika kejadian, empat lagi turut berada dalam van iaitu seorang kanak-kanak Tabika Chung Hua berusia lima tahun dan tiga murid SJK Chung Hua berusia 10 tahun yang duduk di bahagian belakang van.

“Mereka sempat menyelamatkan diri dengan bantuan orang ramai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tatau yang turut memadam kebakaran akibat renjatan elektrik itu.

“Renjatan elektrik itu mengakibatkan Singa melecur 70 peratus pada bahagian badan manakala anaknya separa melecur pada badan,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Tatau sebelum dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis menjalankan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kabel elektrik itu putus hingga dilanggar van sekolah itu.

Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Pengurusan Lebuhraya Pan Borneo dimaklumkan mengenai kejadian bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 6:10 AM