Noor Hisam Nordin (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Noor Hisam Nordin (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Polis Pahang mengambil inisiatif memperkasakan keselamatan dan pertahanan 11 balai polis di negeri itu dengan mengadakan latihan tembak taktikal bermula 6 Jun lalu yang akan berakhir Jumaat ini.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata, latihan itu membabitkan 130 anggota dari Kem Komandan, Cawangan Istana dan petugas balai polis daerah yang membabitkan empat zon.

Menurutnya, latihan itu susulan beberapa insiden serangan dan ancaman yang berlaku termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 di Sepang, Selangor; Balai Polis Ulu Tiram, Johor; Balai Polis Dato' Keramat, Pulau Pinang serta cubaan menceroboh Istana Negara di Kuala Lumpur.

"Bagi menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam khususnya, langkah komprehensif dan kesiapsiagaan ketika menjalankan tugas amat penting sebagai garis panduan kepada petugas barisan hadapan bagi pegawai rendah polis (PRP) di lapangan.

"Menerusi latihan itu, pendedahan mengenai keselamatan pertahanan balai merangkumi pemantapan kaedah menembak dan kemahiran penggunaan senjata api di bawah tekanan sekiranya berlaku kecemasan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar bagi Julai 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, objektif utama pelaksanaannya adalah untuk melatih petugas di lapangan supaya sentiasa siap siaga dan lebih peka dengan persekitaran penugasan mereka.

"Saya percaya kontinjen Pahang satu-satunya yang melaksanakan latihan seumpama ini dan harapan saya, ia sentiasa dipraktikkan dalam usaha kita menjaga keselamatan diri dan pasukan.

"Saya sendiri bertindak sebagai tenaga pengajar bagi taklimat ini yang diharap dimanfaatkan oleh semua petugas barisan hadapan khususnya.

"Prosedur operasi standard (SOP) sudah ada untuk ditambah baik dan memastikan pengendalian senjata yang lebih mantap," katanya.

Mengulas penutupan pintu pagar balai polis selepas 10 malam, Noor Hisam berkata, balai polis masih beroperasi seperti biasa tetapi orang awam perlu melapor diri terlebih dahulu di pos sentri.

Menurutnya, lapor diri itu sebagai tapisan awal untuk memastikan mereka yang benar-benar memerlukan khidmat kita masuk dan kita takut dan tidak tahu niat orang.

"Mungkin jika ramai sangat kita benarkan seorang sahaja tetapi jika babitkan kanak-kanak wdan anita akan ditemani ibu bapa atau waris.

"Ia bukan proses yang ketat, cuma perlu memperkenalkan diri dan menerangkan niat (tujuan) ke balai polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 1:41 PM