FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mahani Ishak


Seri Kembangan: Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Semenanjung mengalami kerugian hasil tenaga sebanyak RM3.4 bilion akibat aktiviti perlombongan bitcoin secara haram dalam tempoh lima tahun daripada 2018 hingga 2023.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun ia mungkin peratusan kecil berbanding keseluruhan penggunaan tenaga, tetapi nilai kerugian memberi kesan menyeluruh kepada negara dan sektor tenaga.

"Kerugian akibat aktiviti itu bukan lagi jutaan ringgit tetapi mencecah berbilion ringgit, ia hanya daripada kegiatan bitcoin yang sepatutnya menjadi hasil tenaga.

"Sejak aktiviti bitcoin bermula pada 2018, syarikat pembekal tenaga berdepan kecurian melalui aktiviti perlombongan bitcoin berjumlah RM3.4 bilion.

"Untuk kecurian lain membabitkan pengubahsuaian meter serta rumah kongsi yang melakukan penyambungan elektrik haram, ia mencatatkan kerugian antara RM100 juta hingga RM200 juta setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan gimik pelupusan rampasan Suruhanjaya Tenaga (ST) di pusat pembuangan dan pelupusan logam di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST Ismail Zaili Yusop dan Ketua Pegawai Operasi ST Dr Ir Dr V Sanjayan.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, akibat kerugian hasil itu, rakyat turut menanggung kesannya sama ada melalui penyelarasan tarif atau sebagainya.

Terdahulu, 2,022 barangan rampasan elektrik bernilai RM2.2 juta elektrik dilupuskan selepas didapati gagal mematuhi beberapa syarat ditetapkan ST termasuk tidak mempunyai label keselamatan ST-SIRIM.

Rampasan itu membabitkan 349 mesin bitcoin, 1,219 peralatan elektrik tanpa label keselamatan SIRIM-ST, selain 445 kelengkapan dan sembilan peralatan masing-masing daripada kes kecurian elektrik dan barangan terbabit dalam kes kemalangan elektrik.

ST memperoleh arahan untuk pelupusan barangan rampasan daripada Timbalan Pendakwa Raya di bawah Seksyen 406A dan 407 Kanun Keseksaan Jenayah (Akta 593) membabitkan 46 kertas siasatan oleh suruhanjaya itu selepas selesai melalui proses mahkamah dan kompaun.

Pelupusan mesin bitcoin itu hasil rampasan melalui operasi serbuan bersepadu Ops Renjat yang dijalankan ST di lima premis tidak berpenghuni pada Oktober 2022 yang mana terdapat pengubahsuaian dengan cara pintasan haram terus tanpa meter hingga menyebabkan kerugian RM1.3 juta kepada pihak utiliti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 1:31 PM