Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim.
Oleh Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Global Infrastructure Partners (GIP) akan beroperasi secara berasingan daripada BlackRock selepas syarikat itu diambil alih kelak.

Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurusan GIP juga akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab terhadap hala tuju strategiknya serta syarikat yang dilabur.

"Ini bermakna GIP akan terus beroperasi secara berasingan daripada BlackRock.

"Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) bersama GIP juga akan memiliki pegangan minoriti 30 peratus dalam MAHB.

"Segala keputusan penting berkenaan MAHB hanya akan dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama ahli-ahli konsortium," katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang mahu penjelasan mengenai status penjualan saham MAHB kepada konsortium yang turut membabitkan syarikat berkaitan Israel, Blackrock.

Anwar turut menegaskan, transaksi bagi pengambilalihan MAHB tidak membabitkan BlackRock sama sekali.

Katanya, tawaran pengambilalihan MAHB adalah urusan transaksi komersial dengan perbincangan dijalankan pihak wakil konsortium, tidak membabitkan BlackRock.

Daripada segi pelaburan, Anwar berkata, MAHB hanya membelanjakan RM1.4 bilion dalam tempoh 5 tahun lalu berbanding RM6.6 bilion oleh Thailand dan RM12 bilion bagi Indonesia.

Atas dasar itu, kata Anwar, konsortium terbabit yang diterajui

Khazanah dan KWSP akan memiliki majoriti 70 peratus pegangan bersama dalam MAHB.

Jelasnya, tawaran bagi mengambil alih dan menswastakan MAHB memudahkan pembaharuan dilaksanakan dengan kadar yang segera.

Anwar berkata, baki 30 peratus pegangan di bawah konsortium terbabit akan dimiliki Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan GIP berperanan melalui pengalaman dan kepakaran teknikal dalam pengendalian operasi lapangan terbang antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 1:34 PM