SKUAD hoki negara tamatkan menutup siri Jelajah Eropah dengan kemenangan besar. -FOTO MHC
SKUAD hoki negara tamatkan menutup siri Jelajah Eropah dengan kemenangan besar. -FOTO MHC
BERNAMA

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih pasukan hoki lelaki negara Sarjit Singh memuji mentaliti anak buahnya selepas membelasah Kelab Hoki Monchengladbach 9-2 dalam siri aksi persahabatan Jelajah Eropah, semalam.

Sarjit berkata bukan mudah untuk bangkit terutamanya selepas tewas di tangan Jerman 10-1 pada Ahad lepas.

"Perkara positif yang dapat dilihat adalah karakter pemain yang tidak patah semangat walaupun tewas dengan jaringan besar ketika bertemu Jerman," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) kepada media hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Gladbach Hockey and Tennis Club itu, empat gol Speedy Tigers dijaringkan Faizal Saari pada minit ke-35, 42, 46 dan 59, manakala selebihnya hasil jaringan pemain Azimuddin Syakir (3'), Shello Silverius (32'), Norsyafiq Sumantri (40'), Alfarico Lance Liau (52') dan Fitri Saari (57').

Beliau berkata dua aksi yang diadakan di Jerman ialah perlawanan sangat baik kerana dapat mengenal pasti tahap kemampuan anak buahnya.

"Intensiti perlawanan sangat tinggi dan kita sedar perlawanan sebegini mampu meningkatkan tahap permainan pasukan kebangsaan," katanya.

Sarjit berkata dua perlawanan yang bakal ditempuhi di Belanda selepas ini bukan tugas mudah namun ia peluang terbaik untuk Speedy Tigers bermain dengan pasukan yang sangat berkualiti.

"Mereka perlu mengambil peluang untuk memperbaiki kemahiran, fizikal dan pemahaman konsep permainan di peringkat antarabangsa.

"Kami mahu mereka belajar dan matang secepat yang mungkin terutama kepada pemain muda," katanya.

Speedy Tigers akan meneruskan aksi siri jelajah Eropah menentang Belanda pada 12 Julai sebelum menutup siri itu dengan bertemu India pada 14 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 1:31 PM