Oleh Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui berlaku kelewatan pengeluaran 'fleet card' bagi kegunaan syarikat pengangkutan darat barangan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagi menangani isu berbangkit, pihaknya mengambil beberapa langkah seperti memohon syarikat minyak melaksanakan penggunaan kad tunai.

Di samping itu, pihaknya juga akan bekerjasama rapat dengan lima syarikat minyak untuk mempercepat proses pengeluaran fleet card.

"Memang saya akui ada masalah daripada segi kelewatan pengeluaran fleet card oleh syarikat-syarikat minyak dan kita meneruskan (sesi) libat urus dengan syarikat-syarikat minyak untuk memastikan lebih cepat ia dikeluarkan.

"Selain daripada membayar balik, kita dan Kementerian Kewangan juga mempermudahkannya. Kita juga meminta syarikat minyak sekarang melaksanakan penggunaan cash card (kad tunai) sementara menunggu kad itu (fleet card) dikeluarkan.

"Insya-Allah kita ambil maklum kekhuatiran YB (Yang Berhormat) dan sedikit kerumitan yang dihadapi oleh pengguna disebabkan isu fleet card ini.

"Pada masa sama, kita juga akan terus bekerjasama rapat dengan kelima-lima syarikat minyak ini untuk mempercepat pengeluaran fleet card," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang mahukan penjelasan kementerian berhubung kelambatan pengeluaran fleet card di bawah pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Poay Tiong berkata, sungguhpun KPDN memberi kelulusan pada Mac dan April lalu, namun sampai ke hari ini, masih ramai syarikat pengangkutan darat belum menerima fleet card.

Dengan kelewatan itu, katanya, ia sekali gus menimbulkan masalah kepada syarikat berkenaan meskipun mereka boleh menuntut semula bayaran balik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 1:44 PM