KEADAAN rumah yang terbakar di Jalan Teku, Sibu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
KEADAAN rumah yang terbakar di Jalan Teku, Sibu, hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seorang wanita kelainan upaya rentung dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Bahagia Jaya, Lorong Bahagia Tengah 1, Jalan Teku di Sibu, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa disahkan sebagai Kong Kim Ngin, 52.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan 26 penghuni tiga rumah itu tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah sepenuhnya.

"Mayat seorang wanita ditemui rentung di pintu bilik salah sebuah rumah itu pada jam 9.27 pagi," katanya.

Beliau berkata, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.04 pagi dan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral, diarah ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, didapati api marak di tiga rumah berstruktur tidak kekal itu dan dimaklumkan terdapat seorang mangsa terperangkap.

"Selepas berjaya ditemui, mayat mangsa yang rentung itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya lagi, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.29 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.55 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2024 @ 1:48 PM